Masjidil Haram versi Malaysia?

Masjid Biru versi Malaysia pun boleh..

Antara budaya yang saya suka setiap kali solat berjemaah di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM ialah pesanan setiap kali sebelum solat.

"Make sure you silent your phone. Check your saff and lets make this prayer as our last prayer in front of Allah". Pesanan ni biasanya saya dengar ketika solat secara senyap.

Manakala ketika solat jahar (solat yang dibaca kuat), imam atau bilal kadang berpesan :
"Check your alarm
سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصَّفِّ مِنْ تَمَامِ الصَّلَاةِ
Luruskanlah shaf-shaf kalian, karena sesungguhnya lurusnya shaf termasuk kesempurnaan solat"

Jarang sebenarnya budaya ini wujud di masjid-masjid lain. Pesanan-pesanan ringkas ini adalah 'heart setting' yang sangat baik bagi para makmum dan imam itu sendiri sebelum menunaikan solat. Kadang, kehidupan para pelajar yang sentiasa mengejar masa, solat hanya menjadi rutin yang tidak meninggalkan sedikit bekas pun di jiwanya. Segala masalah assignment, pembentangan projek dan peperiksaan dibawa masuk sekali dalam solatnya. Solat yang dimulai dengan niat dan takbiratul ihram yang hanya dilafaz di bibir, apakah mampu menuntun hati itu agar khusyuk hingga ke akhirnya?

Hakikatnya, kita perlu merasakan solat sebagai pertemuan agung seorang hamba dengan RabbNya. Memutuskan sebentar hal-hal dunia dan menyempurnakan solat dengan rukun qauli dan fi'li dengan sempurna merupakan terapi yang sangatlah mujarab pada jiwa. Rasukan keimanan hendaklah benar-benar dirasakan sehinggakan kita hanya melihat alam akhirat di depan dan segala yang kita ada akan dipertanggungjawabkan.

Dahulu, ketika saya solat di sebuah masjid di Indonesia, saya terkejut mendengar arahan imam sebaik sahaja solat selesai :
"Beristighfarlah siapa yang tidak meletakkan fonnya pada mod senyap sebentar tadi. Sesungguhnya dia telah mengganggu para jemaah untuk khusyuk bersama Tuhannya"

Sejurus selepas itu, menangis santri di sebelah saya dengan bersungguh-sungguh. Esakannya didengari jelas oleh orang sekelilingnya. Terkejut saya melihat repson spontannya

'Ya Allah.. saya juga ingin ikut nangis kalau begini. Moga Kau mengampuni kesilapannya. Pastinya dia tidak sengaja'

___

Jika diperhatikan, imam adalah individu yang boleh memberi kesan pada jiwa makmum. Apabila solat itu merupakan proses menghubungkan hati sang hamba dengan Tuhannya, maka dialah ketuanya. Dialah juru terbang (pilot) kapal terbangnya. Ketua yang menghubungkan hati-hati manusia secara terus kepada Rabbnya. Kualiti solat itu menjadi jauh lebih berkualiti apabila imamnya benar-benar bersiap sedia. Kadang, para imam yang benar-benar menghayati bacaan ayat-ayat Al-Qurannya, sehingga mengalir air mata atau sebak suaranya sudah cukup membuatkan rasa-rasa itu berpindah kepada hati makmumnya. Meskipun mungkin makmum itu sudah lama tidak menatap ayat-ayat suci Al-Quran untuk dibaca dan ditadabbur, tetapi kesyahduan bacaan ayat-ayat Al-Quran itu ada auranya yang tersendiri. Allahu akbar.

Apapun, alhamdulillah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM Gombak tidak pernah mengecewakan para makmumnya. Baik muazzinnya, begitu juga imamnya. Menghitung hari menuju Ramadhan, hati semakin rindu untuk beribadah dalam suasana seperti itu. Kemeriahan masjid ini di sepanjang Ramadhan-ramadhan yang lalu semakin membuatkan hati terasa tidak sabar untuk melalui Ramadhan kali ini.

Allahumma bariklana fi Syaaban wa ballighna Ramadhaan.

N.H

Comments

  1. Allahu.. baru tahu husna ada blog ni... cantik sgt , bermanfaat lagi!

    ReplyDelete
  2. Jannah😅 rindu karya jannah di blog juga. Mohon doa dari jannah agar husna boleh istiqomah ye.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

:: Sekilas tentang Wattpad ::

Rindu Arwah.

Ummi..