Aku perlukan mereka
![]() |
Ainul Huda Al-Hafizah |
Mendengar rakaman suara sepupu sendiri yang bertanding pertandingan Hafazan peringkat kebangsaan pagi tadi, benar-benar membuat aku cemburu dan terharu akan pencapaiannya. Dia yang jauh lebih muda, dah mula berjinak-jinak dengan Al-Quran, malah mungkin juga telah bercinta dengan kalam Tuhan yang agung itu.
Hari yang sama, aku juga baru menyelesaikan ujian hafazan 4 Juzuk Al-Quran (5 Juzuk sepatutnya). Allahu. Nak cerita mujahadah nak membumikan ayat-ayat Al-Quran ini dalam sanubari, ketika minggu semua orang sibuk menghantar assignment, membuat pembentangan projek dan mengulangkaji pelajaran.. hanya Allah sahajalah yang Maha Memahami.
Baru je semalam mengeluh :
"Ya Allah, mampu ke aku nak teruskan kelas tahfiz ni. 5 Juzuk satu sem. Subjek-subjek lain juga memerlukan komitmen yang tinggi. Menuntut ilmu itu amanah", termenung aku sendirian.
Namun, dek kerana aku dah janji dengan diri sendiri. Aku kuatkan juga hati ini. Di saat orang lain tidur awal dan bangun lewat, kita cuba untuk tidur awal dan bangun awal. Kadang-kadang terpaksa juga tidur lewat dan bangun awal, demi mengisi kesempatan masa yang ada dengan Al-Quran. Whatsapp juga aku hanya peruntukkan setengah hingga sejam je sehari. Fokus memang jauh lebih tinggi dari minggu-minggu sebelum ni. Aku tidak mahu lagi mengulang sejarah 'lupa Al-Quran' setelah memperdengarkan hafazan ayat-ayat itu. Ye, sememangnya mengulang itu sakit, tapi jauh lebih sakit jika kita mengulang tanpa disiplin diri yang kuat.
Ustaz pesan sebelum ujian bermula tadi :
"Now, Ramadan was very near. You should revise more. And revise with the spirit of Ramadhan.. Today, dont be frightened with exam. Just enjoy it!"
Sungguh, aku kagum pada mereka yang dah capai tahap gembira dengan susah payah menghafal Al-Quran. Sampaikan nak exam Quran pun, rasa 'enjoy'.
Jazakumullahu khairal jazak kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang meneguhkan hati ini untuk terus menjaga kalam Allah yang mulia ini. Cc Nisrin Adnin, Auni Baharin, Faten Amalina, Solihah Isa, Maz, Asmaa Allam, Noraini Shahbuddin, Izzatti Izudin, Yayan & semua classmate tahfiz sem ni. Sifat berlumba-lumba kalianlah yang membuatku ingin turut sama berlari di atas landasan ini. Bertemu kalian ibarat mengubat hati yang letih ditusuk godaan 'susahnya hafal Quran', kalian membuat aku percaya bahawa mengulang dan mengulang ayat yang sama itu sesuatu yang membahagiakan dan merupakan terapi semula jadi buat hati.
Andai aku jatuh dari perlumbaan ini, sambutlah diriku dan bangunkan aku. Andai aku lena, kejutlah aku dan ingatkanlah aku akan masa yang terus berlalu. Andai aku letih dan lemah, kuatkan aku.
P/s : lepas ni, tebuk Quran jadi hobi kita. Bila lagi nak main? Tak puas pula sejam dua je main tebuk-tebuk Quran.
Catatan 12 Mei 2017 (lepas habis exam)
![]() |
Kalian terlalu bermakna dalam hidupku. Alhamdulillah. |
Comments
Post a Comment