Ummi..

Hari ini adalah hari 8/10 ummi diberi cuti oleh doktor perubatan.

Menyemak kembali dokumen-dokumen, kad-kad pertemuan susulan, resit-resit dan ubat-ubatan yang doktor beri. Allah, berkerut-kerut juga dahi nak hadam perkataan demi perkataan.

Malam tadi, ummi sempat melihat adegan saya meramas kepala.
“Sakit kepala ye, anak ummi..”

Allah, rasa bersalah menghujani diri. Rasa nak undurkan masa, ubah semula persepsi ummi.

Itulah anak, bila mengurus seorang ibu, sering sahaja merasa susah. Sedangkan ibumu mengurus dirimu melebihi 10 hari ulang alik ke hospital, tiada sungutan yang berbunyi. Malah, tidak pernah ibu membilang hari, membilang wang dan membilang tenaga yang sudah dicurahkan.

6 September 2017, 10 Oktober 2017, 17 Oktober 2017

Ini adalah 3 tarikh penting yang doktor pesan supaya aku ingat baik-baik. Masa daftarkan nama ummi di hospital, terlupa pula nak beri nombor telefon abang, ayah dan adik, memandangkan ruang yang disediakan hanya untuk satu nama. Harapanku, moga-moga tarikh ini, kita ingat bersama dan saling mengingatkan. ;)
.
.___
Sakit datang tanpa memberitahu kehadirannya.
Ketika menahan sakit, ketika itulah kita akan tersedar bahawa kita pernah sihat.

Begitu juga kematian,
Ketika jasad sudah terkaku tanpa ruh, dimandikan, dikafankan dan ditanam, kita akan tersedar bahawa kita pernah hidup.

Kita pernah sihat.
Kita pernah hidup.

Semoga kita semua diberi kemampuan oleh Allah untuk menghargai nikmat sihat dan nikmat hidup yang Allah pinjamkan buat kita. Amiin.



 N.H

Comments

Popular posts from this blog

:: Sekilas tentang Wattpad ::

Rindu Arwah.