Refreshing My Soul

“Ha, buat apa ni?”, tanya pak guard yang amanah menjalankan tugas.
Kami berdua hanya menggeleng-gelengkan kepala. Masing-masing kelu nak bersuara.

“Dah tu, apa lagi? balik-balik.. Study kat bilik. Saya tunggu awak kemas barang”.  
Maka, tergopoh-gapahlah kami mengemas kerana tidak menjangkakan hal itu akan berlaku.
Sebaik keluar dari masjid,
“Alaa kak Husna.. tak dapatlah kita nak iktikaf kat masjid.. Kalau balik bilik, takut ke laut je Subuh kita”, sedih nada rakanku itu.
“Kalau ikutkan hati yang degil, kita nak masuk balik masjid. Tidur je kat dalam lepas pakcik tu pergi”.
Aku memandang wajahnya simpati sambil memikirkan apa solusi yang boleh meringankan rasa sedih di hatinya. Aku faham niatnya baik.
“Hmm, tidur bilik kak husna jelah. Bilik kak husna tak jauh dari masjid..”. 
Mulutnya masih muncung menandakan tidak cenderung untuk pulang ke bilik. Hatinya berat untuk menetap di masjid juga.
Kuat betul azam dia. Dah kena halau pada jam lewat macamni pun nak tidur masjid jugak? Apalah yang Allah nak bagi kat dia ni’, monolog hatiku sambil membayang-bayangkan bantal empuk di bilik. Nyamuk yang semakin banyak mengelilingi kami sedikit sebanyak mendatangkan rasa rimas untuk duduk di situ lebih lama.
“Jomlah, kita ke bawah. Rasanya ada je makcik cleaner tidur kat bawah. Kita tidur sekali dengan makcik cleaner”
“Hm, betulke ni?”, giliran dia pula cuak melihatku. “Jom jom”
Tiba sahaja di bilik bawah, ternyata makcik cleaner pun tak tidur masjid.. Tapi, Alhamdulillah pakcik jaga dah balik. Jadi, kami pun bersiap-siap untuk merehatkan diri. Lantai yang beralaskan kerpet lama itu tidak membatalkan niat kami untuk tidur di masjid. Berbantalkan beg yang ku bawa dan mengadap kiblat, kami pun tidur dengan nyenyaknya.
__

Pagi itu, merupakan permulaan hari yang indah berbanding hari-hari sebelum ini. Kami bergegas bangun mempersiapkan diri sebelum Solat Subuh berjemaah bersama imam di Tingkat 2. Menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid bersama alunan merdu sang imam ibarat mempersiapkan diri menuju ambang Ramadhan tidak lama lagi.

Di saat imam membaca ayat-ayat tentang sebaik-baik balasan (Syurga) yang Allah sebutkan sebagai Al-Husna, berguguranlah butiran jernih dari kelopak mataku. Terasa seperti Allah ingin memberitahu alangkah bertuahnya golongan yang berjaya Solat Subuh berjemaah di awal pagi, berlumba-lumba dalam kebaikan sehingga akhirnya Allah ganjari mereka syurga.

Dua kali imam itu mengulang 2 ayat ini sebelum meneruskan bacaan ke ayat yang seterusnya :
)وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ لِيَجْزِيَ الَّذِينَ أَسَاءُوا بِمَا عَمِلُوا وَيَجْزِيَ الَّذِينَ أَحْسَنُوا بِالْحُسْنَى * الَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ إِلَّا اللَّمَمَ ۚ إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ الْمَغْفِرَةِ ۚ هُوَ أَعْلَمُ بِكُمْ إِذْ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَإِذْ أَنْتُمْ أَجِنَّةٌ فِي بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ ۖ فَلَا تُزَكُّوا أَنْفُسَكُمْ ۖ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَىٰ(
[Surat An-Najm 31 - 32]

Maksudnya:
31. Dan Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; (diciptakan semuanya itu) untuk membalas orang-orang yang berbuat jahat menurut apa yang mereka lakukan, dan membalas orang-orang yang berbuat baik dengan balasan yang sebaik-baiknya.

32. (Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya. Ia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia mencipta kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.


Terasa sangat berbaloi dua rakaat Subuh pagi itu.


Begitulah Al-Quran, ianya perlu dibaca sejak awal-awal pagi, sebelum memulakan apa-apa aktiviti. In shaa Allah, ketenangan jiwa dan keberkatan Al-Quran akan mengiringi  segenap masa seharian yang kita lalui.

Kemerduan atau keelokan bacaan dalam Al-Quran juga memainkan peranan penting. Kadang, memilih imam yang bacaannya sedap itu satu keperluan supaya makmum dapat menambah peratus khusyuk dalam solat. Malah, mungkin juga suara itu boleh mengetuk pintu-pintu hati yang hampir mati dengan kelembutan ayat-ayat Allah. 

Mudah-mudahan Ramadhan kali ini menjadi Ramdhan yang dapat menambah keelokan kami dalam membaca Al-Quran dan menambah peluang untuk mentadabbur ayat-ayatNya. Amiin.

N.H

Comments

Popular posts from this blog

:: Sekilas tentang Wattpad ::

Rindu Arwah.

Ummi..