Abang Terangkak-Rangkak
Pagi tadi, sambil menunggu kehadiran kawan, saya dapat menduga akan ada orang lelaki tegur. Mana tidaknya, saya duduk di Male Sport Complex!
Sudah tertulis di Luh Mahfuz, saya jadi AJK Tempat program Haluan Siswa Sport Festival 1.0 (HusStle 1.0) yang akan berlangsung esok, maka tugas saya adalah pastikan semua 'court' boleh digunakan sebelum program bermula.
Memandangkan perut sudah manyanyikan lagu P. Ramlee dengan rancaknya, saya pun duduklah di sebuah kerusi sambil membuka bungkusan nasi berlaukkan tempe. Sebulan lebih tak menjamah tempe, kecur air liur kot.
Sebaik suapan kedua selesai, ada seorang lelaki lalu di hadapan.
"Dik, awak pelajar UIA ye?"
"Ambil kos IRK ye? Usuluddin?"
Saya angguk-angguk kemudian geleng. "Saya jurusan Quran Sunnah"
Tiba-tiba sahaja, wajah dia berubah teruja.
"Oh bakal ustazah.. Mesti awak pandai baca Al-Quran kan?"
Saya angguk sahajalah. Menunggu soalan seterusnya.
"Dulu, saya pandai baca Al-Quran. Tapi sekarang, saya sangat susah nak baca. Saya bersukan sana sini, sampaikan sedar-sedar dah 2 tahun saya tinggal Al-Quran"
Perhatian saya mula tertumpu padanya. Berbadan gempal, berbaju unggu dan wajahnya sedikit berkerut. Hilang selera nak sambung suapan tempe seterusnya.
"Kalau saya nak jadi pandai balik, macam mana ye? Apa boleh saya buat?"
Saya senyum. Ingatkan nak tebuk saya baca surah apa-apa ke. Huhu. Cuaklah juga.
"Teruskan membaca. Cari kawan umur sebaya atau lebih kurang yang pandai baca Al-Quran dan baca dengan dia."
"Dulu, saya memang ada kawan yang ajar Al-Quran. Tapi sekarang saya dah tak tau dia di mana. Hidup saya pun dah berubah"
Spontan saya sambut, "Oh dulu hidup berseronok-seronok..."
"Eh takdelah. Saya asyik sibuk bersukan. Tapi saya masih solat" Ok, masih kategori baiklah abang ni, masih solatkan?
"Saya ni jahil. Saya baca Al-Quran lambat sangat. Kadang-kadang, baru baca 4 baris saya dah penat. Surah-surah pendek saya pandailah. Tapi bila baca bahagian yang tak biasa baca, nak habis satu ayat pun susah. Takpe ke saya terus baca?"
"Takpe, takpe. Semua orang melalui proses latihan sebelum pandai baca Al-Quran. Lagi banyak latihan, lagi cepat pandailah. Tak mengapa kita merangkak baca Al-Quran, asalkan kita baca setiap hari"
"Oh kena baca setiap hari?"
"Ye baca setiap hari walaupun sikit. Ada Nabi SAW pernah sebut tentang orang merangkak baca Al-Quran ni..
‘Mereka yang mahir membaca Al-Quran akan bersama malaikat yang mulia lagi taat (Al-Safarah Al-Kiram Al-Bararah). Adapun orang yang membaca Al-Quran dalam keadaan gagap, tersangkut & merasa sukar ketika membacanya, baginya dua pahala’. (Hadith Riwayat Muslim)"
Lepas habis baca hadis tu, dia bukan main suka lagi, macam nak melompat. "Saya dapat dua pahala?"
"Yup. Satu pahala bersusah payah membaca dan satu lagi pahala membaca Al-Quran". Wajah lelaki itu bersinar-sinar.
"Asal niat kita baik, Allah akan bantu insyaAllah", sambung saya.
"Oh betul betul betul" Jari telunjuk dia tiba-tiba sahaja terarah ke wajah saya. Terdiam dia dari bicara. Perlahan-perlahan diturunkan kembali jarinya.
"Terima kasih ye dik. Maaflah saya suka bertanya. Saya suka belajar. Terima kasih sekali lagi ye." Selepas mohon undur diri, kelibatnya hilang seiring langkahnya yang menjauh.
___
Saya terpana. Lebih-lebih lagi dengan ayat 'saya jahil', 'saya suka bertanya' dan 'saya suka belajar'. Terasa seperti lelaki itu kiriman dari Allah pada hari Jumaat yang mulia ini.
Dia mengingatkan saya kepada satu perkara - bahawa apabila kita berpuas hati dengan setiap pencapaian kita, kita sedang menutup ruang-ruang untuk memperbaiki diri.
Kita hanya akan mula belajar apabila kita melabelkan diri sebagai 'aku tak tahu'. Setitik ilmu yang kita tidak tahu memanggil kita kepada usaha yang jitu.
Berusaha dan teruslah berusaha seiring cita-cita yang kita impikan. Apatah lagi, dalam hal-hal yang menambah keberkatan hidup, meluaskan kubur dan mencalonkan diri kita sebagai ahli syurga.
Dalam memperbaiki diri, sebaiknya kita melihat apakah hari ini aku lebih baik dari semalam, apakah esok aku akan lebih baik dari hari ini. Usah bandingkan diri dengan pencapaian orang lain, kerana setiap orang berbeza kelemahan dan kekuatannya.
.
.
Nurul Husna,
Berusaha menjadi kilauan permata.
p/s : catatan 4 Mei 2018
Comments
Post a Comment