Kenangan bersama Murabbi

Murabbi ibarat lilin yang membakar diri, demi menerangi kegelapan.

Minggu lepas, semester dua telah melabuhkan tirai dan segalanya memberi aku seribu satu makna yang sukar diterjemahkan kepada bait-bait tulisan.

Aku menulis bukan untuk menjual nama-nama pensyarah UIA tetapi cukuplah ia menjadi asbab agar aku tetap ingat lembaran kehidupan yang amat mahal ini.

Menjadi anak murid kepada guru yang telah berguru dengan puluhan guru yang diiktiraf keilmuannya - sering membuat aku tertanya,
"Apakah aku boleh mengulangi semula kelas-kelas yang cukup berharga ini? Apakah aku akan diberi peluang untuk menuntut ilmu dari mereka lagi?"


1. Dr Muntaha.
Seorang ustaz yang pakar dalam ilmu Fiqh dan Usul Fiqh. Hari pertama dalam kelas, ustaz tunjuk sijil-sijil akademik sejak ustaz belajar di Indonesia sehinggalah ke Madinah - semuanya 'Mumtaz Al-Awwal'. Bila ustaz sambung Master dan PHD pula, pointer ustaz tak pernah bawah daripada 3.90.

Sejak hari pertama lagi, kata-kata ustaz sarat dengan galakan menjadi seorang yang benar-benar berilmu, apatah lagi hari-hari seterusnya.

Aku sangat suka mendengar cerita selingan ustaz. Lebih-lebih lagi cerita kesungguhan para ulamak belajar dan menyebarkan ilmu.

Sering ustaz mengulang kata-kata Imam Al-Muzani :
“Aku telah membaca kitab Ar-Risalah karya Asy-Syafi’i 500 kali, setiap kali membacanya aku mendapatkan faedah yang baru yang belum aku dapatkan pada kali yang lain”

"500 kali! Antum baca kitab ini (sambil ustaz memegang buku teks) berapa kali? Apakah antum lebih baik dari Imam Al-Muzani atau antum lebih baik dari Imam Syafie? Imam Syafie membaca Al-Muwatta' 9 hari - habis baca habis hafal. Antum baca buku ini (buku teks) berapa hari habis baca dan hafal? Sehari semalam kan? -malam sebelum exam", kata ustaz diikuti ketawa kecilnya.
____

Jujurnya, lebih dari sekali aku keluar dari kelas ustaz sambil kesat-kesat air mata. Rasa malu dengan para ulamak itu sangat tebal. 

Sampaikan aku pernah bertanya,
"Ustaz, bukankah satu yang mustahil kita menjadi seperti mereka? Imam-imam besar terdahulu mana masuk universiti seperti kita semua, bahkan masa mereka tidak terikat dengan kelas dan assignment seperti mana kami. Bagaimana pendapat ustaz?"

Jawapan ustaz ketika itu aku kurang faham, tetapi boleh aku simpulkan sebagai memanfaatkan segala ruang kebaikan sebaik mungkin. 

Sebagai contoh, masuk tadika yang silibusnya menekankan kenal Allah dan Rasul, masuk sekolah yang menekankan nilai-nilai Islam, masuk maahad atau pusat tahfiz yang memberi ruang kita hafaz Al-Quran serta terdedah kepada kitab-kitab dan sebagainya. Sehingga akhirnya, peribadi yang terbentuk adalah manusia yang bersungguh mencintai ilmu dan menyedari erti di sebalik keislamannya.

Sesekali ustaz bergurau secara santai,
"Awak tak rasa bangga ke tengok kitab-kitab Imam Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Malik dan Imam Abu Hanifah depan mata? Mereka korbankan masa tidur, masa rehat, dan masa bersenang-senang untuk tulis buku, tak teruja ke nak sentuh dan tatap buku-buku mereka?"

Biasanya bila ustaz beri nasihat seperti ini, aku angguk laju-laju dalam kelas.

______
"Awak Mazhab Syafie kan, tapi kitab Imam Syafie yang mana yang awak pernah baca? Sepatutnya bila awak pergi perpustakaan, dapat jumpa je kitab-kitab mereka, selfie dengan buku! Selfie dengan rak buku! Pastu send gambar tu dekat saya"

Waktu ini pula, memang satu kelas ketawa. Mana tidaknya, nak taip mesej dekat ustaz pun berkali-kali semak ayat Bahasa Arab, ini pula hantar gambar selfie dengan buku. Hahaha.

Ustaz pesan supaya gambar kelas ada nama. Nanti 20 tahun lagi, kamu dah kahwin dan ada anak-anak, ustaz akan tengok semula gambar ini - sama lagi tak muka. Hihi.

2. Dr Sofiah
Perkara pertama yang aku suka tentang ustazah ialah 'sangat comel!'. 

Kedua, Bahasa Arab. Selalunya bila ustazah bercakap, aku akan ikut secara diam-diam perkataan yang ustazah sebut. Boleh aku katakan, lidah ustazah sesuai digelar lidah orang arab. Sedap je telinga dengar ustazah bertutur dalam Bahasa Arab, persis seperti sedang bertutur dalam Bahasa Melayu.

Ketiga, mimik muka ustazah. Kadang-kadang, aku tutup mulut sungguh-sungguh dalam kelas sebab tak mampu tahan rasa kelakar bila tengok mimik muka ustazah. Lebih-lebih lagi bila ramai buat muka 'blur', tak faham apa ustazah nak sampaikan. Hihi.

Keempat, ustazah sangat mudah dibawa berbincang. Beritahu sahaja apa-apa halangan atau kebuntuan kita dalam pelajaran, ustazah selalu sedia mendengar dan membantu. 

Jujurnya aku terharu bila ustazah sudi panggil setiap pelajarnya datang ke bilik. Sambil ustazah semak nota, ustazah tanya semula "Faham tak tajuk ni?". Ustazah ada lebih dari 150 orang pelajar setiap semester, tetapi ustazah sanggup korbankan masa rehat ustazah demi setiap pelajarnya. Sangat prihatin kan?

Antara pesanan ustazah di kelas terakhir (semester ini) yang masih dalam proses aku siapkan ialah,
"Setiap hari kita baca Surah Al-Fatihah paling kurang 17 kali sehari, tapi kita tak pernah baca atau dengar sekurang-kurangnya satu tafsir tentang Surah Al-Fatihah.  Logikkah kita sebagai Muslim berkelakuan begitu?

Berapa tahun kita solat dan membacanya dalam solat, tapi kita tak faham pun apa kita baca. Logikkah begitu? Ustazah sendiri baca tafsir Surah Al-Fatihah lebih dari 100 kali."

Huhu, nak menitis air mata rasanya. Banyak lagi nasihat ustazah yang 'deep', tapi setakat ini, itulah yang paling lama melekat dalam hati dan minda.

Kelas ini tiada gambar yang diambil. Semua memori simpan dalam hati je. Cewah.
.
.
3. Dr Abullaits (ditulis ts sebab huruf tsa, bukan sin)
Beliau seorang yang sentiasa bertenaga dalam memberi penyampaian. Pandai berjenaka dan buat 'pick up line'. Sudut positifnya, para pelajar mudah jatuh cinta dengan ilmu berkaitan Hadis. Lebih-lebih lagi, bila ustaz boleh bercakap lima bahasa -  Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa India dan Urdu!

Tagline ustaz - siapa paling pandai dalam kelas, maka dialah 'syaitan kabiir'. Haha. Syaitan kali ini bukan tipu-tipu, memang ustaz panggil dia syaitan. Maka jadilah dia syaitan yang menzahirkan diri di dunia realiti. Fuh. 

Gurauan ustaz biasanya hanya difahami oleh siapa yang pernah belajar dengan ustaz sahaja. Dulu, saya fikir panggilan syaitan ni gurauan kasar di kalangan pelajar lelaki dalam group whatsapp, rupa-rupanya anak-anak murid ustaz! 

Dan ada satu kaedah 'pencuri-pencuri' yang ustaz ajar bila nak buat assignment. Pencuri dalam hal ini tidak berdosa ye. Pencurian yang membawa kita kenal siapa penulis kitab, tarikh kitab terbit, cetakan ke berapa, huraian-huraian di dalam kitab dan banyak lagi. Menarik kan?

Sebenarnya aku tak layak nak tulis tentang ustaz. Siapa tak kenal Dr Abullaits, penulis kitab Ulum Hadis yang menjadi rujukan kebanyakan universiti. Dalam hal ini, aku kagum dengan kegigihan ustaz. Berkelulusan Sarjana Muda di Universiti Islam Madinah (pengkhususan Hadith), Master di Universiti Ummul Qura, Makkah (pengkhususan Hadith) dan sambung PHD di Universiti Ummul Qura juga (pengkhususan Hadith). 

Kecemerlangan ustaz sangatlah cemerlang iaitu 'daaiman mumtaz al-awwal', dan itulah yang membuat aku tabik hormat dengan ustaz. Bukan mudah nak jadi pelajar mumtaz di kedua-dua universiti yang ustaz belajar. Ulamak di sana sangat tinggi keilmuannya, masyaAllah. Sungguh rezeki yang sangat aku hargai bila dapat jadi anak murid ustaz. 

Ustaz pernah bertanya kami bila habis cuti selama dua hari
"Bagaimana cuti kamu? Laziiz am la? (Laziz ini boleh diertikan sebagai sangat memuaskan)"

Maka, bersahut-sahutlah jawapan "Naam.. naam"

Tapi bila ustaz cakap,
"Cuti saya 'laziz jiddan' bila saya dapat siapkan tiga journal dan habiskan baca beberapa artikel"

Aku angguk perlahan memahami nilai cuti yang ustaz maksudkan. Cuti yang memuaskan adalah cuti yang menambah hasil dan pencarian kita terhadap suatu ilmu yang kita sedang ceburi. Allahu akbar! Qudwah bagaimana lagi yang aku inginkan?
.
.
4. Ustaz Faizul Haque
Ustaz yang comel dan sangat banyak memberi sedekah. Apa istimewanya sedekah ustaz? Ustaz suka sedekah markah. Hehe. Ada ke pelajar tak suka markah kan? Tapi apapun, markah yang tinggi hanyalah hadiah untuk mereka yang berusaha. Perkara terpenting adalah ilmu yang kita belajar difahami dengan baik dan kekal untuk selama-lamanya. InsyaAllah.

Walaupun ustaz menjadi guru aku kerana menggantikan Dr Jannah yang cuti sakit, aku nampak keikhlasan ustaz dalam mengajar. Ustaz selalu datang tepat waktu dan terang sehabis baik. Ustaz agak sensitif bila ada pelajar buat perkara yang ustaz larang dan ustaz akan tegur. Cara ustaz tegur berbeza dengan kebanyakan pensyarah. Awal-awal nampak macam marah, tapi bila ustaz senyum, serta merta semua orang boleh ketawa dan ustaz lupa dah rasa marah tu. Mungkin sebab ustaz comel, senyum ustaz mudah buat orang tertawan. Huhu.  

'When the ustaz was very cute and funny, I dont know how to stop laughing or smiling (only sometimes)'. Hihi. Itulah yang aku tulis dalam buku catatan setiap kali ustaz marah, kemudian 'cool' semula.

Ustaz kerap menyebut, "I want to make all of you happy. Please be kind to me, okay?". (Sila bayangkan muka comel ustaz!)

 
"Actually I want to cry, but I dont want". Kata-kata ustaz sebelum berpisah dengan kami sebelum tamat semester ini.

Thank you very much, ustaz!


_________________
Alhamdulillah atas segala kenangan yang Allah izinkan sepanjang semester ini. Setiap pensyarah ada kelebihan dan kekurangan, namun aku percaya kedua-duanya saling membantu dalam memberi impak berbeza kepada para pelajar. 

Antara persamaan yang aku dapat lihat daripada setiap pensyarah ialah kegigihan menghargai fasa menuntut ilmu. Semakin aku belajar dengan mereka, semakin terasa 'malasnya' aku dan 'tak pandainya' aku. Malah, mereka sentiasa terbuka untuk menerima apa-apa soalan. Hatta soalan yang aku rasa terlalu remeh, mereka sangat menghargainya.

Sehingga aku bermonolog sendirian, 'Apa susahnya belajar, kalau pensyarah tak pernah jemu memberi bantuan? Apa susahnya subjek, kalau setiap soalan ada jawapan? Apa lagi alasan untuk tidak menguasai bidang?'

Fuh. Renung punya renung, ternyata yang meletakkan halangan 'sukar' itu aku. Yang bermasalah itu aku. Yang membuang masa itu aku. Yang tidak berdisiplin itu aku. Yang tidak banyak membaca itu aku.

Sampai bila aku harus begitu? Sudah, aku ingin menjadi 'aku yang baru!'

____
Semester ini banyak mengajar aku erti sebuah perancangan. Memang sengaja aku pilih subjek Bahasa Arab sahaja sem ini semata-mata nak dapat rasa belajar dengan pensyarah yang hebat-hebat. (sementara mereka masih ada). Kesannya cukup besar dan mendalam bagi diri aku. 

Betul orang kata, bila kita ada target sebelum masuk satu fasa yang panjang, kita akan rasa puas sebaik habis tempoh itu. Kita nampak apa yang kita capai, dan apa yang kita perlu perbaiki.

Semoga Allah merahmati setiap detik waktu yang dilalui oleh pensyarah-pensyarahku, begitu juga semua teman seperjuangan yang akan meneruskan perjuangan menuntut ilmu sem depan! Barakallahu fiikum. Jumpa lagi.

N.H

P/S : Ada lagi pensyarah lain yang aku belajar dengannya sem ini, mungkin akan ditulis pada entri akan datang. Tak tahulah. Doa-doakan Husna rajin ye :)

Comments

Popular posts from this blog

:: Sekilas tentang Wattpad ::

Rindu Arwah.

Ummi..