3 yang saling berkait


Tadi ada burung pipit datang sebelah. Nostalgia 9 tahun lalu menerpa serta merta dalam memori. Burung pipit, arwah atuk, Tun M - 3 yang saling berkait.

Burung itu mendekat ketika aku mengaji pagi-pagi lepas Subuh. Andai boleh aku berbahasa dengan bahasa burung, ingin sahaja aku memanggilnya, "Mari sini wahai si comel. Mari sini, aku ingin berkawan denganmu"

He says Hi to me! How happy I am :)


Burung itu lompat-lompat kecil lalu terbang ke awan tinggi. Waktu aku Tingkatan Satu dahulu, peristiwa hampir sama berlaku. Cikgu tidak masuk kelas dan aku berjalan-jalan menikmati keindahan taman di sekolah. Cicipan suara mula kedengaran, membuatku tersedar kehadiran si comel di ranting pokok bunga.

Malangnya, kaki burung itu tersangkut di kayu. Kudratnya terbatas untuk terbang dan melarikan diri. Aku mengutipnya dengan penuh kasih sayang dan membawanya pulang ke rumah.

"Tok ayah...Husna bawa balik burung comel!"

"Ayah....comel kan burung ni? Kesian dia tak boleh terbang. Sob sob"

Kecoh satu rumah aku kejutkan. Tok ayah (arwah atukku), antara orang yang paling aku tunggu responsnya. Tok ayah; gaya bercakapnya, gurau tawanya, kesungguhan buat kerjanya mirip sangat dengan Tun M. Setiap kali dengar Tun M berucap, terbit rasa rindu yang sukar ku nafikan pada Tok Ayah.

Tok Ayah sangat suka mencipta buku skrap dari surat khabar harian. Bakat ini turun pada aku. Setiap minggu beliau akan potong gambar-gambar dan ceritakan pada aku kandungan buku yang sudah siap. Pernah aku dinobatkan sebagai Johan Buku Skrap peringkat menengah rendah, Tok Ayahlah yang dorong aku buat. Jujur aku tak sangka, buku skrap aku jadi pameran buat seluruh warga sekolah.

Beliau juga sangat komited membaca Surah Yasin setiap kali selepas Subuh. Selesai baca Yasin, beliau akan taip kamus cina menggunakan 'typewriter'. Tetetetet.. Tetetetet.. bunyi itulah yang  memecah sunyi setiap pagi. Sehari sebelum beliau pergi ke hadrat Ilahi, tertulis 'Jilid 36 TAMAT' pada helaian terakhir Kamus Cina-Melayu yang Tok Ayah taip.

Kiri (ayahku yang comel!), tengah (Abang Amin sedang pegang buku skrap harian Tok Ayah), Kanan (Cikgu Izzat sedang pegang Kamus Manderin Jilid 1)

Walaupun Tok Ayah perlu menjalani rawatan dialysis 3 kali seminggu, semangat kentalnya untuk berbakti sukar ditafsir dengan minda. Di pusat dialysis, beliau mengajar rakan-rakan yang lain bahasa Cina dan kadangkala memberi pinjam kamus yang beliau taip. Sedangkan lumrah pesakit yang menjalani dialysis biasanya penat dan tidak bermaya. Tetapi Tok Ayah, balik pusat rawatan, sambung lagi tulis kamus cina. Malu aku.

Tok Ayah pernah dihadiahkan oleh Kerajaan Johor beberapa ekar tanah kebun. Sewaktu komunis bertapak di Malaysia, Tok Ayah dengan kemahiran bahasa cinanya telah menyampaikan maklumat kepada Sultan Johor tentang perancangan komunis. Maklumat itu diteliti oleh beberapa perisik dan disahkan benar. Oleh kerana Sultan Johor rasa terhutang budi, maka kebun itu dihadiahkan demi menghargai jasa orang yang dianggap menyelamatkan Malaysia pada waktu itu.

Walaupun aku hanya mendengar cerita dari Tok Ayah tentang kehidupan zaman penjajahan, aku percaya kata-katanya. Dengan melihat sikap rajin dan bersungguh yang ada pada diri Tok Ayah ketika tua, bukan suatu yang ajaib untuk beliau banyak menabur jasa ketika muda.

Sewaktu 10 Mei 2018, seluruh rakyat Malaysia menyaksikan Tun M angkat sumpah sebagai Perdana Menteri buat kali ke-2. Dalam hatiku menjerit, 'Atuk dah menang! Atuk dah menang! Semoga atuk dapat bantu selamatkan Malaysia. Semoga atuk benar-benar pejuang seperti datukku'

Menitis air mataku dek rasa sebak yang teramat. Lebih-lebih lagi ketika melihat tangan Tun M yang terketar-ketar ketika berdoa. Beginikah rasanya merdeka pada 31 Ogos 1957 lalu?

Tun M bertutur Bahasa Melayu dengan loghat Kedah. Sangat mirip dengan bahasa pertuturan Tok Ayah. Begitu juga dengan 'pickup line' Tun M yang menjadi buah mulut rakyat Malaysia, perwatakan ini persis Tok Ayah.

Selalu bila dah habis makan, Tok Ayah akan licinkan pinggan beliau daripada sebutir nasi dan  sebarang jenis lauk. Kadangkala, beliau ambil tisu untuk lap pinggan dan beliau akan kata sambil angkat pinggan,
"Takdok siapa bagi makan.. (buat muka sedih)..Hurm tengok ni.. tak makan apo pun.." (cakap loghat Kedah-Penang)

Lagi aku dengar Tun M cakap, lagi aku terdengar suara Tok Ayah. Bila orang tular selipar Tun M, sekali lagi aku terkelu. Selipar itulah juga yang Tok Ayah pakai. Kemeja Tun M pun, ada corak yang sebiji sama dengan kemeja Tok Ayah. Aku terkedu sendirian. Saat ini, Tun M yang aku panggil atuk itu menjadi atuk untuk seluruh rakyat Malaysia.


Selipar Tun M selipar Tok Ayah jua. Hehe. Jenama Bata pun sama!
Kali pertama tengok baju Tun, terdetik dalam hati, 'Eh kenapa Tun pakai baju Tok Ayah?' Lama-lama tengok, aku sedar ini persamaan yang tidak disengajakan. Huhu


6 Ramadhan 1430H, Tok Ayah meninggal dunia sebaik berkumandangnya Azan Subuh. Itulah tarikh keramat dalam hidupku. Selang beberapa hari Tok Ayah meninggal, burung yang aku pelihara pula dibaham oleh kucing pada 22 Ramadhan 1430H. Aku berlari sekuat hati untuk mendapatkan kucing dan burung itu, namun kedua-duanya hilang tanpa bayang yang mampu ku jejak. Spontan, jeritanku seperti dilanda histeria yang amat dahsyat. Burung kesayanganku pergi buat selama-lamanya.

Sebelum Tok Ayah meninggal, beliau ada pesan "Hati-hati main burung di luar, nanti kucing terkam". Ibarat disambar petir bertalu-talu, aku ingin ucap terima kasih pada Tok Ayah, tetapi Tok Ayah sudah tiada. Pesan beliau yang aku pandang enteng, akhirnya menjadi ingatan sampai hari ini.

Buat semua rakyat Malaysia yang mengenali Tun M dari dulu hingga kini, aku harap kita sama-sama dapat teladani apa yang baik dari Tun M. Sikap rajin membaca, disiplin mengamalkan gaya makan yang sihat, sering bersukan sejak muda dan sanggup korbankan kesenangan hidup demi kemaslahatan orang ramai - semoga sikap inilah yang mendarah daging dalam masyarakat Malaysia.

Aku harap rakyat Malaysia tidak menyesal seperti aku yang memandang enteng nasihat Tok Ayah. Kita sama-sama hargai Tun M dan kerajaan baharu dengan mengikis sikap malas, banyak buang masa dan menanti perubahan tanpa mengubah diri kita terlebih dahulu. Hakikatnya, Malaysia ini akan kembali bersinar apabila rakyatnya bersatu ingin menjadi baik dan membaikkan orang lain. Segalanya bermula dari kita.
.
.
Nurul Husna,
Cucu pejuang yang dilahirkan untuk menjadi pejuang.

P/s : Ini catatan di bulan Ramadahan 1439H. Gambar-gambar Tok Ayah, Tun M, burung pipit (Salam) dan kamus cina jilid-jilid lain bakal menyusul kemudian. InsyaAllah.

Comments

Popular posts from this blog

:: Sekilas tentang Wattpad ::

Rindu Arwah.

Ummi..